Program Kesukarelawanan di Zoo Negara

Program kesukarelawanan merupakan suatu program yang sangat mendapat tempat tanpa mengira usia di kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Kini, pelbagai agensi dan institusi mula sedar akan kepentingan program berbentuk khidmat sosial dalam usaha membentuk sahsiah di kalangan komuniti khususnya kepada para pelajar.



Atas kesedaran ini, sekumpulan para pelajar dari Fakulti Pengurusan Industri Halal di bawah anjuran Jabatan Pengajian Umum, Kolej UNITI telah mengadakan suatu program berbentuk kerja amal di Zoo Negara pada 26 Februari 2016 iaitu pada hari Jumaat.  Program yang melibatkan seramai 27 orang pelajar dari gabungan semester 3 dan 4 telah diiring oleh seorang pensyarah pengiring ini dilihat telah banyak memberikan manfaat kepada seluruh peserta yang terlibat khususnya dalam memupuk semangat untuk membuat kerja amal dan menjadi sukarelawan tanpa mengira usia. Program seperti ini juga sangat penting dalam mewujudkan kesedaran akan kepentingan mencintai flora dan fauna yang ada di sekeliling kita di samping dapat meningkatkan sahsiah dalam melahirkan mahasiswa/ mahasiswi yang memiliki ketinggian dari sudut sahsiah diri termasuk fizikal dan mental.


            Pelbagai pengalaman menarik telah diperolehi oleh para pelajar sepanjang berlangsungnya aktiviti kesukarelawanan tersebut yang mana mereka telah diberikan pendedahan tentang tips-tips memelihara dan menguruskan haiwan-haiwan di Zoo Negara di bawah pemantauan pegawai zoo yang yang terlatih. Pada peringkat permulaan, para pelajar telah dibahagikan tugas secara rawak dan terus bergerak ke lokasi masing-masing diiringi oleh pegawai yang terlatih. Antara kawasan yang terlibat ialah seperti kawasan sarvanah karnivor, reptilia dan lain-lain.



            Antara aktiviti yang telah dilaksanakan oleh para pelajar ialah seperti menyediakan dan memberi makan kepada haiwan-haiwan seperti beruang, orang utan, badak sumbu, rusa, seladang, landak, kura-kura dan lain-lain. Pada ketika ini, para pelajar telah diberi peluang untuk mengenali jenis-jenis makanan bagi setiap haiwan kerana ianya adalah berlainan bagi setiap jenis haiwan. Makanan yang dimaksudkan adalah seperti  madu buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, daging roti dan lain-lain. Selain dari itu, para pelajar telah diajar dan dilatih akan kaedah membersihkan sisa-sisa makanan termasuklah kandang dan sangkar burung seperti burung helang, merpati dan banyak lagi.



            Justeru, penganjuran projek seperti ini dapat dijadikan sebgaai pemangkin semangat kepada para pelajar yang terlibat supaya berterusan menyertai apa sahaja program kesukarelawanan yang ada di luar sana. Pengalaman berharga yang diperolehi sepanjang berlangsungnya program ini sedikit sebanyak telah meninggalkan pemikiran optimistik dan kesedaran akan nilai-nilai murni khususnya berkaitan dengan etika dan akhlak  supaya para pelajar dapat  membentuk keperibadian yang mulia terhadap alam semula jadi ciptaan Allah swt.













Comments

Popular Posts